Harimau Malaya mampu ulangi kejayaan 2010

Harimau Malaya mampu ulangi kejayaan 2010

BARISAN pemain Harimau Malaya ketika membawa pulang Piala AFF buat kali pertama ke Malaysia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berdasarkan momentum dan prestasi semasa, skuad Harimau Malaya diyakini mampu mengulangi kejayaan skuad negara pada 2010 yang berjaya menjulang Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah.

Bekas pemain pertahanan negara, Razman Roslan berkata, skuad kendalian Kim Pan Gon ketika ini juga mirip dengan skuad 2010 yang mana ketika itu, ramai pemain ‘regular’ tidak dapat bersama pasukan atas pelbagai sebab.

Situasi tersebut katanya, menyebabkan jurulatih ketika itu, Datuk K. Rajagobal terpaksa memanggil beberapa pemain baharu termasuk dirinya untuk membarisi skuad kebangsaan pada saat-saat akhir dengan campuran pemain baharu dan senior.

“Bagi saya, kemenangan 2010 masih diingati sehingga sekarang kerana itu satu-satunya kejayaan kita dalam Piala AFF. Pada edisi 2010 itu, kita berjaya tewaskan Vietnam di separuh akhir dan kemudiannya benam Indonesia di pentas final.

“Pada kali ini, jika semua pemain bersatu, saya percaya kita akan dapat ulangi kejayaan ini. Bertemu Thailand di peringkat separuh akhir bagi saya, kita tetap ada peluang dan Pan Gon semestinya ada perancangan terbaik untuk hadapinya.

“Apa yang penting ialah pemain kena ikut taktikal yang direncanakan jurulatih, saya yakin dengan barisan kejurulatihan sedia ada sekarang kita mampu untuk beroleh sesuatu dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi ini,” katanya.

Sementara itu, bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha yakin corak permainan agresif dan bersemangat diterapkan Pan Gon dapat memerangkap Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada Selasa depan.

“Saya pernah menjalani latihan kem kebangsaan dibawah pimpinan Pan Gon, jadi saya lihat aksi agresif diterapkan bermula wisel pertama dibunyikan. Taktikal dia memang bukan jenis yang sabar, dia akan menekan lawan dari bahagian atas sebagaimana yang dilakukan ketika ini.

“Tidak mustahil kita mampu memenangi perlawanan separuh akhir ini walaupun rata-rata pemain yang beraksi untuk Malaysia adalah penampilan pertama buat mereka,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN