Vietnam mampu layak ke Piala Dunia 2026

Vietnam mampu layak ke Piala Dunia 2026

Vietnam gagal ke Piala Dunia Qatar selepas tewas di tangan Jepun ketika aksi kelayakan Zon Asia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua jurulatih berpengalaman negara, Muhammad Azraai Khor Abdullah dan B. Sathianathan meramalkan Vietnam mampu melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 dan menjadi pasukan Asia Tenggara pertama berjaya berbuat demikian.

Selepas Vietnam, negara kedua yang menjadi pilihan dua jurulatih tersebut adalah Thailand yang pada hemat mereka turut memiliki keupayaan untuk mencipta sejarah menjejakkan kaki ke Piala Dunia.

Namun begitu, buat negara tercinta, Malaysia, baik Azraai mahupun Sathianathan mempunyai pandangan sama apabila berpendapat skuad kebangsaan masih belum mampu mengikut jejak langkah Vietnam ataupun Thailand dalam masa terdekat ini.

Azraai berkata, selagi masalah yang berlaku dalam bola sepak domestik gagal diselesaikan, selagi itulah Malaysia jangan bermimpi untuk layak ke Piala Dunia.

“Untuk membentuk sebuah pasukan yang bagus dan berkualiti tinggi, Malaysia memerlukan ‘blue print’ yang benar-benar mantap.

“Saya tidak dapat melihat bola sepak kita maju ke depan, kalau diimbas kembali pada zaman 70-an, Vietnam adalah negara yang menjadi belasahan Malaysia.

“Tetapi sekarang mereka adalah negara di Asia Tenggara yang paling hampir untuk layak ke Piala Dunia apabila mara sehingga ke pusingan ketiga pada peringkat kelayakan.

“Kita pula ada banyak masalah di peringkat domestik seperti gaji pemain tidak dibayar dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut beliau, semasa tahun 70-an, ketika Malaysia menganjurkan Pesta Bola Merdeka, Vietnam tidak berada dalam senarai jemputan, sebaliknya Jepun dan Korea Selatan yang menjadi pasukan lawan buat skuad kebangsaan pada ketika itu.

“Kalau kita bercakap pasal bola sepak Vietnam, pada 2010 ada satu rombakan besar-besaran dalam pengurusan bola sepak negara itu yang mereka panggil kerja-kerja pemutihan.

“Pemain mereka yang terbabit dalam skandal jual perlawanan telah dibuang dan sistem bola sepak akar umbi negara itu diperbetulkan” ujarnya.

Beliau turut menegur sikap segelintir pemain yang memilih status pertandingan bagi menyarung jersi Malaysia, sehingga wujud pasukan A dan B, sedangkan pemain negara lain berebut-rebut mewakili negara mereka.

Sementara itu, B. Sathianathan yang turut memilih Vietnam berkata, pada Piala Dunia 2026, bilangan negara yang bertanding akan ditambah kepada 48 buah negara dan tidak mustahil skuad bimbingan Park Hang-seo berupaya berbuat demikian.

“Sejak jurulatih dari Korea Selatan di bawa masuk dan mereka juga memiliki pengarah kejurulatihan dari Jerman, bola sepak Vietnam telah banyak berubah,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga memilih laluan sama dengan melantik jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon membimbing skuad kebangsaan dan memang tidak dinafikan terdapat perubahan tetapi ia tidak mencukupi untuk menyaksikan skuad kebangsaan menjejakkan kaki ke Piala Dunia dalam tempoh terdekat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN