PH Johor tiada cadangan ubah komposisi Exco

PH Johor tiada cadangan ubah komposisi Exco

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pakatan Harapan (PH) Johor tidak akan mencadangkan apa-apa perubahan terhadap komposisi barisan Exco dalam keterbukaan bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Liew Chin Tong berkata, PH Johor mencadangkan supaya kerjasama dwipartisan antara kerajaan negeri dan pihak pembangkang diperkukuhkan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah membuka lembaran baharu di peringkat Persekutuan apabila PH dan BN serta beberapa gabungan parti lain menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan Perpaduan ini dibentuk berasaskan persefahaman dan kerjasama antara parti yang bersaing dalam pilihan raya umum yang lalu. Ini memberi peluang unik kepada negara yang akan membolehkan kita kembali kepada landasan wasatiyah dan majmuk.

“PH Johor menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memberikan BN kekuatan majoriti dua pertiga di dalam Dewan Negeri. Dengan itu, kami tidak akan mencadangkan apa-apa perubahan dalam komposisi Eksekutif Kerajaan Negeri,” katanya, di sini.

Pada PRN Johor pada Mac lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan memenangi 40 kerusi daripada 56 DUN yang dipertandingkan, manakala PH 10 dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling berharap pembangkang akan diterima sebagai rakan strategik seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut mencadangkan penubuhan Kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor dengan penglibatan 24 Ahli-ahli Parlimen BN dan PH.

“Kaukus ini boleh dibantu oleh Kerajaan Johor menerusi taklimat dan maklumat supaya semua Ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan kerajaan Johor kepada kerajaan Persekutuan.

“Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.