menang tapi hambar

Menang tapi hambar

HARIMAU Malaya berjaya melakarkan kemenangan pada aksi pertama Kumpulan B Piala AFF.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun Harimau Malaya berjaya meraih tiga mata berharga namun banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon bagi membentuk skuad lebih mantap.

Kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Myanmar pada aksi pertama Kumpulan B Piala AFF menerusi jaringan tunggal Faisal Halim ke atas Myanmar, tidak diraih dengan mudah apabila barisan pemain negara dipaksa bekerja keras.

Digelar Harimau Malaya ‘B’, corak permainan ditunjukkan barisan pemain ‘berwajah baharu’ itu jelas memperlihatkan jurang cukup besar dengan pa­sukan kebangsaan sebelum ini yang rata-rata dibarisi tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT).

FAISAL Halim dikasari pertahanan Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna, kelmarin.

Kelemahan daripada segi penguasaan bola dan lebih banyak melakukan hantaran bo­la lambung jelas menunjukkan corak permainan ‘membosankan’ tetapi tuah nyata me­mihak kepada pasukan kebangsaan.

Di sebalik aksi hambar, pujian juga perlu diberikan kepada mereka kerana berjaya mereali­sasikan misi membawa pulang tiga mata.

Malah, pasukan ini ju­ga berjaya meleraikan badi kekalahan sejak 2016, sekali gus memadamkan rekod buruk beraksi di gelanggang keramat Myanmar itu.

Dalam masa sama­, kemenangan itu meletakkan Harimau Malaya berada di landasan tepat untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, para peminat tentu sekali mengharapkan aksi lebih baik mampu diperagakan skuad kebangsaan menjelang aksi kedua berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sekiranya, corak permainan sama ketika menentang Myanmar dipamerkan skuad negara, tidak mustahil anak buah Pan Gon akan berdepan kesukaran besar apabila bertembung de­ngan pasukan seperti Vietnam dan Singapura nanti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN