PETALING JAYA: Destinasi baharu pemain naturalisasi negara, Lee Tuck akhirnya terjawab apabila dia diperkenalkan sebagai pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.
Kehadiran pemain kelahiran England itu akan memperkuatkan bahagian tengah skuad Sang Kenari memandangkan Tuck tidak asing lagi dengan pengendali Kedah, Nafuzi Zain kerana kedua-duanya pernah bekerjasama di Terengganu FC dari 2018 hingga 2020.
Kedah semalam mengumumkan, Lee Tuck, 34, mengikat kontrak setahun sekali gus melengkapkan senarai pemain tempatan pilihan Nafuzi.
“Selamat datang Lee Tuck ke bumi Jelapang Padi. Pemain yang diikat selama setahun bersama skuad Sang Kenari ini bakal mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir pasukan KDA FC musim 2023.
“Lee Tuck bukan nama asing apabila mula menempa nama di Liga Malaysia sejak musim 2017 bersama Negeri Sembilan FC seterusnya bersama Terengganu FC yang menjadi kemuncak prestasinya sebagai pemain import.
We stay on our feet, welcome our new blood …#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2023season #newblood10 pic.twitter.com/vkwmyJIGoo
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) December 30, 2022
“Kehadiran Lee Tuck sudah pasti memperkukuhkan bahagian tengah Sang Kenari musim depan dan nombor 10 menjadi pilihan beliau pada musim 2023 nanti,” tulis Kedah dalam satu kenyataan.
Dilahirkan di Halifax, England, Lee Tuck antara dua pemain yang baru mendapat status naturalisasi untuk menggalas cabaran Malaysia pada Piala AFF bersama Sergio Aguero.
“Musim lalu beliau mewakili pasukan Sri Pahang FC dan mula beraksi sebagai pemain tempatan dalam saingan Piala Malaysia 2022.
“Walaupun sebelum ini mengisi slot kuota import, Lee Tuck akhirnya mendapat kerakyatan secara naturalisasi pada Jun lalu dan baru-baru ini beliau disenaraikan sebagai pemain Harimau Malaya untuk Piala AFF 2022,” kata Kedah. – UTUSAN ONLINE