Johor rangka modul lahir generasi celik politik

Johor rangka modul lahir generasi celik politik

NORLIZA NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sedang merangka modul pembelajaran bersesuaian bagi memberi pendedahan tentang kepentingan dan tanggungjawab pelajar sejajar dengan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh berkata, modul berkenaan sedang dikaji Jabatan Penerangan Negeri Johor (Japen), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Institut Dato’ Onn (IDO). 

Menurutnya, modul berkenaan bersifat kenegaraan dan akan dirangka berdasar pengalaman dan kepakaran dimiliki agensi terlibat. 

“Pada masa ini, pelajar sekolah menengah didedahkan dengan Amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan menerusi Kelab Malaysiaku yang terdapat di 73 buah sekolah di seluruh Johor. 

“Setakat ini, dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR), pelajar didedahkan dengan proses pilihan raya di samping memberi penekanan terhadap kepentingan menjadi pengundi bertanggungjawab dalam memilih kepemimpinan untuk menerajui negara pada masa depan,” katanya menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini. 

Norliza berkata, selain pendedahan berbentuk program, bahan sokongan yang menekankan kenegaraan juga telah disedia dan sedang diguna pakai di sekolah menengah dan tingkatan enam.  

“Bahan ini berbentuk modul pembelajaran seperti Buku Modul Pengajian Am dan Modul Sejarah. Kandungan bahan akademik ini mendedahkan pelajar dengan pengetahuan politik berkaitan struktur pemerintahan negara, demokrasi berparlimen dan negara bangsa,” katanya.

Norliza turut memaklumkan Kementerian Pendidikan juga telah mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan bertujuan untuk menyuburkan sifat cinta terhadap negara, jati diri dan sifat patriotisme.   

“Selain itu, pelajar juga diterap dengan kesedaran tentang warisan, tanggungjawab terhadap diri, orang lain, komuniti dan masyarakat serta sikap hormat terhadap budaya dan masyarakat lain di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN