Itali paling banyak `balai polis China'  - Utusan Malaysia

Itali paling banyak `balai polis China’ 

BALAI polis China turut ditemukan di bandar Milan, utara Itali. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Itali didakwa mempunyai bilangan `balai polis China’ paling banyak dengan 11 dikenal pasti di negara itu daripada lebih 100 yang dilaporkan di seluruh dunia.

Dakwaan itu dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Sepanyol, Safeguard Defenders dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Lapor The Guardian, dua pusat perkhidmatan polis China didakwa menggunakan bandar Milan di utara Itali sebagai medan ujian untuk strategi kepolisan bagi memantau pergerakan warga China yang tinggal di luar negara dan memaksa penentang politik Beijing pulang ke tanah air.

Pada September lalu, Safeguard Defenders melaporkan kewujudan 54 balai polis demikian yang beroperasi secara tidak sah di seluruh dunia sekali gus mendorong sekurang-kurangnya 12 negara termasuk Kanada, Jerman dan Belanda melakukan siasatan.  

Dalam satu laporan dikeluarkan baru-baru ini, Safeguard Defenders mendakwa pihaknya mengenal pasti 48 balai polis tambahan yang mana 11 daripadanya terletak di Itali.

Jelasnya, beberapa lagi balai polis China dikesan di Croatia, Serbia dan Romania.

Tambah laporan itu, balai polis berkenaan beroperasi di Rom, Milan, Bolzano, Venice, Florence, Sicily dan Prato iaitu sebuah bandar yang menempatkan komuniti Cina terbesar di Itali.

Siasatan yang dijalankan oleh Safeguard Defenders adalah berdasarkan kenyataan dan data China tersedia umum serta dihadkan kepada pusat perkhidmatan polis  ditubuhkan di negara yang mempunyai jumlah komuniti Cina paling banyak.

Menurut Safeguard Defenders, balai polis itu tidak dikendalikan secara langsung oleh Beijing namun beberapa kenyataan dan dasar mula menunjukkan bimbingan lebih jelas dari kerajaan pusat dalam menggalakkan penubuhan dan dasar mereka.

Safeguard Defenders juga mendakwa balai polis itu digunakan oleh China untuk `mengganggu, mengugut, menakut-nakutkan dan memaksa penduduk negara itu yang disasarkan untuk kembali ke China’.    

Sementara itu, China menafikan tuduhan itu dan menegaskan ‘balai’ berkenaan hanya ditubuhkan semata-mata untuk menawarkan perkhidmatan seperti pembaharuan pasport dan lesen memandu bagi warga China di luar negara.            

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.