Tolong nasihat Abdul Hadi buat kenyataan cermin keperibadian pendakwah - PH

Tolong nasihat Abdul Hadi buat kenyataan cermin keperibadian pendakwah – PH

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) meminta Pemuda Pas Selangor menasihatkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk mengeluarkan kenyataan yang lebih mencerminkan keperibadian seorang pendakwah sekiranya tidak mahu sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya. 

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis mengambil tindakan kerana menerima aduan daripada rakyat seperti mana yang dilapor media. 

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak munasabah Presiden Pas itu dibiarkan tanpa siasatan terperinci dan kebal daripada segala tindakan undang-undang. 

“Isunya mudah. Ustaz Abdul Hadi  dan lain-lain pimpinan Pas yang berkenaan keluarkan kenyataan tidak wajar terkait agama dan perkauman dalam konteks rakyat berbilang kaum serta agama di negara kita. Yahudi, komunis, Israel, Kristianisasi dan macam-macam lagi.

“Ada aduan polis dibuat oleh rakyat seperti dilapor media. Polis pun mulakanlah siasatan sesuai dengan undang-undang yang ada. 

“Tak munasabah Ustaz Abdul Hadi boleh dibiar buat apa sahaja kenyataan dan undang-undang tak boleh sentuh dia sampai pemuda Pas pula beri amaran. Jika tak mahu ustaz Abdul Hadi ‘diganggu’ tolong nasihat dia keluarkan kalimah seorang daie dari mulutnya. Insya-Allah rakyat hidup rukun damai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Pemuda Pas Selangor memberi amaran supaya kerajaan campuran PH dan Barisan Nasional (BN) tidak bermain politik kotor dan persepsi jahat. 

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kerajaan yang dipimpin Anwar itu sewajarnya menumpukan soal membangunkan ekonomi dan menyelesaikan isu kos sara hidup yang diwar-warkan.

“Bukan sibuk ingin mengheret Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman. Adakah fokus kerajaan campuran PH dan BN ini untuk membalas dendam daripada membela rakyat? Sibuk mencipta persepsi jahat daripada mencipta peluang pekerjaan? 

“Kami memberi amaran sekiranya tindakan tidak bermunasabah ini berterusan dilakukan. Himpunan besar-besaran akan diadakan! Kami tak akan berundur,” katanya. 

Polis membuka siasatan terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Kenyataan akhbar PDRM sebelum itu memaklumkan, pihaknya sedang menyiasat Presiden Pas, namun meminda semula kenyataan itu selepas beberapa jam dengan menamakan Hassan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya