MB ‘low profile’ kurang berpolitik, buktikan pencapaian

MB ‘low profile’ kurang berpolitik, buktikan pencapaian

AZLAN Man menunjukkan risalah antara pencapaian kerajaan negeri dibawa pentadbirannya dari 2013 hingga 2022 dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN DUN Bintong, Kangar, Perlis.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Disebalik pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang dikatakan terlalu ‘low profile’, namun beliau membuktikan pelbagai pencapaian sepanjang pentadbirannya dari 2013 hingga 2022 sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Azlan yang tidak terlalu berpolitik membawa masuk jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM32.36 bilion iaitu satu pencapaian cukup membanggakan.

Jumlah pelaburan tersebut melibatkan sebanyak RM3.93 bilion bagi pelaburan awam dan RM28.43 bilion bagi pelaburan swasta.

Azlan berkata, pelaburan swasta tersebut melibatkan aspek pertanian, pembuatan, pelancongan, infrastruktur dan komersial selain pelaburan prasarana awam.

Katanya, antara kejayaan melibatkan pelaburan awam pula seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) membabitkan CVIA fasa satu (RM200.98 juta) selain fasa dua yang akan dilaksanakan.

Selain itu, pelaksanaan Integrated Business Centre (IBC) dengan kos RM39.4 juta yang siap pada Disember 2019.

“Pelaksanaan infra sokongan Perlis Inland Port (PIP) dengan kos RM103.8 juta selain pelaksanaan ‘flyover dan railway spurline’ dengan kos sebanyak RM223.2 juta. Terminal Pengangkutan Bersepadu dengan kos RM32 juta juga termasuk dalam pelaburan awam.

“Manakala pelaburan swasta membabitkan pelaksanaan Pavilion Padang Besar bernilai RM30.3 juta yang dijangka siap pada Disember ini sekali gus bakal membuka 500 peluang pekerjaan. Selain itu, pelaksanaan Plazaria Padang Besar (RM5.83 juta) yang dijangka siap pada April 2023. 

“Antara lain adalah kilang biji benih tropika (GWG); PIP; kompleks beli-belah Giant dan Hospital KPJ Kangar,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di sini malam tadi.

Tambah Azlan, daripada segi perumahan, antara yang dilaksanakan ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wai Permai Kuala Perlis, Pangsapuri Wai Damai, Projek Rimbunan Kaseh Chuping selain program rumah Malaysia yang kini dalam proses perolehan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam aspek pelancongan pula katanya, pelbagai produk pelancongan dibangunkan khususnya berkaitan alam semula jadi sehingga Perlis kini menjadi antara tumpuan pelancong dengan jumlah kedatangan golongan itu ke negeri ini terus menunjukkan peningkatan iaitu 35.7 peratus atau 1.59 juta pelancong.

Katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan program Perlis Pahadoi iaitu bantuan kebajikan kerajaan negeri.

“Bantuan tersebut yang dibelanjakan sebanyak RM106.98 juta meliputi bantuan daripada segi perubatan, pendidikan, pembaikan dan pembinaan rumah, ibu tunggal, anak yatim dan makanan asas yang memberi manfaat kepada penduduk negeri ini.

“Ia juga termasuk bantuan semasa Covid-19 sebelum ini berjumlah RM38.33 juta.

“Itu antara sebahagian dari banyak lagi yang dilaksanakan kerajaan negeri. Kita tidak banyak bercakap, kurang berpolitik tapi terus bekerja keras bagi memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

Bak kata Azlan ‘tak janji tapi jadi’, ia bukan dilihat sekadar tema biasa, sebaliknya beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu membuktikan di bawah pentadbirannya, Perlis terus menikmati kejayaan demi kejayaan yang seharusnya dijadikan panduan kepada pengundi dalam memilih kerajaan terbaik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya