Larangan 16 penceramah bebas tidak halang tingkat pengetahuan agama - Utusan Malaysia

Larangan 16 penceramah bebas tidak halang tingkat pengetahuan agama

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Larangan terhadap seramai 16 individu untuk menyampaikan ceramah di Pulau Pinang tidak akan menghalang umat Islam di negeri itu daripada meningkatkan pengetahuan agama mereka.

Ini kerana menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, masih ramai asatizah (para ustaz dan pendakwah) serta agamawan bertauliah lain yang boleh dijemput pihak kariah untuk mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid atau surau masing-masing.

Jelas beliau, orang ramai perlu memahami Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bertindak selaku pihak berkuasa agama negeri yang bertanggungjawab memastikan institusi masjid dan surau di negeri itu dapat memainkan peranannya yang berkesan sebagai pusat ibadah dan kebajikan bagi umat Islam setempat.

Sehubungan itu ujar beliau, MAINPP berhak memberi apa jua arahan kepada pihak kariah supaya mematuhi peraturan yang termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Pulau Pinang.

Jelas beliau, arahan itu juga selari dengan kaedah-kaedah fikah yang memberi garis panduan bagi para ulama dalam merumuskan hukum syarak untuk difatwakan kepada masyarakat.

“Antara kaedah yang berkaitan termasuklah kaedah Sadd al-Zaraie’ iaitu menutup jalan yang membawa kepada keburukan.

“Kaedah kedua ialah menghindari mafsadah (perkara-perkara yang merosakkan) didahulukan daripada usaha memperoleh maslahah atau kepentingan manusia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Wan Salim, kaedah-kaedah itu memang sesuai diguna pakai dalam konteks lararangan mereka yang tidak bertauliah daripada menyampaikan kuliah dan mengajar di masjid dan surau di negeri itu.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan kuliah agama dan pengajaran yang disampaikan asatizah dan agamawan di masjid dan surau bermanfaat bagi masyarakat Islam setempat untuk menambah ilmu dan kefahaman agama.

Namun katanya, jika difikir dengan lebih mendalam aktiviti ceramah agama dan kuliah di masjid dan surau jika tidak dikawal melalui peraturan tertentu boleh mendatangkan kemudaratan atau keburukan yang lebih besar daripada manfaat yang diperolehi.

“Ini termasuklah kemungkinan berlaku perbalahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam setempat akibat sentimen politik kepartian yang melulu terutama pada musim pilihan raya umum ketika ini.

“Maka adalah lebih bijaksana jika aktiviti ceramah dan kuliah di masjid dan surau, termasuk khutbah Jumaat (dengan sentimen politik) dilarang untuk kebaikan umat Islam khususnya di Pulau Pinang,” katanya.

Terdahulu, MAINPP menamakan seramai 16 individu termasuk penceramah bebas popular, Ustaz Kazim Elias yang dilarang menyampaikan ceramah di negeri itu kerana ketiadaan tauliah mengajar daripada badan agama berkenaan.

Perkara itu bagaimanapun mencetuskan polemik dan perdebatan di dalam media sosial dalam kalangan umat Islam khususnya yang mempersoalkan berhubung kewajaran larangan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN