JKM kenal pasti lokasi PPS baharu, bertindih pusat pengundian

JKM kenal pasti lokasi PPS baharu, bertindih pusat pengundian

RINA Harun melawat mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu pusat pemindahan sementara (PPS) kerana ia bertindih dengan pusat pengundian pada Sabtu ini.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, secara keseluruhan, sebanyak 6,010 PPS disediakan di seluruh negara, namun 2,100 daripadanya digunakan sebagai pusat pengundian.

Beliau berkata, usaha itu terpaksa dilakukan susulan beberapa negeri dilanda banjir ketika ini dan kebanyakan mangsa tidak dapat ditempatkan di PPS sedia ada kerana berlaku pertindihan.

“Saya dimaklumkan, mangsa banjir terpaksa ditempatkan ke dewan orang ramai yang mempunyai keluasan terhad.

“Bagaimanapun, kami akan memastikan kesemua mangsa banjir dilayan dengan baik dan ditempatkan di kawasan lebih selesa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PPS di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini hari ini.

Katanya, JKM sendiri sudah melakukan persiapan awal sejak September lalu terutama dari segi logistik, bekalan makanan dan keperluan lain seperti khemah, selimut dan bantal.

Rina berkata, seramai 3,000 pegawai dan kakitangan JKM sudah diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan banjir di seluruh negara.

Mengulas situasi banjir di daerah Sepang terutama di Dengkil, Rina berkata, seramai 120 mangsa banjir kini ditempatkan di empat PPS masing-masing di Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Taman Gemilang dan Dewan Komuniti Dengkil.

“Kita berharap air semakin surut, namun saya dimaklumkan trend air semakin menaik disebabkan hujan di sebelah Kajang.

“Bagaimanapun, JKM dan agensi lain berkaitan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan jika keadaan bertambah buruk,” katanya.

Dari segi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di PPS pula, Rina berkata, pegawai kesihatan yang bertugas di PPS bersedia melakukan saringan kesihatan jika ada mangsa yang mengalami simptom jangkitan.

“Mereka akan disaring oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan akan diasingkan jika disahkan jangkitan. Semua SOP itu sudah tersedia dan akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.