fbpx

Cools belum pasti bersama Harimau Malaya di Piala AFF

DION Cools (tengah) belum pasti bersama skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF bulan depan.

PETALING JAYA: Kelibat pemain Dion Cools bersama pasukan Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF 2022, bulan depan masih menjadi tanda tanya.

Hal ini berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu jawapan muktamad daripada kelab FK Jablonec.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan badan induk itu sudah mengadakan perbincangan dengan Cools mengenai perkara berkenaan.

Jelas beliau, isyarat awal yang diperoleh adalah pertahanan berusia 26 tahun itu berkemungkinan besar boleh beraksi di Piala AFF 2022 walaupun kejohanan terbabit di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kami ada perbincangan dengan Dion Cools dan sebolehnya kami nak dia bersama dengan pasukan kebangsaan untuk Piala AFF nanti.

“Setakat ini isyarat yang kami dapat, kemungkinan besar dia mungkin boleh beraksi, itu isyarat yang kami dapat. Tapi keputusan muktamadnya… kami masih menunggu lagi jawapan dari kelab dia,” katanya.

Cools menjadi tonggak penting dalam skuad kebangsaan ketika ini, malah pemain kacukan Malaysia-Belgium itu juga mampu beraksi di banyak posisi.

Tentu sekali, khidmat Cools ditagih oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam usaha meraih keputusan positif di Piala AFF kali ini.

Malaysia di undi dalam Kumpulan B bersama juara dua kali, Vietnam selain Singapura, Myanmar dan Laos.

Harimau Malaya akan membuka kempen Piala AFF berdepan Myanmar pada 21 Disember sebelum menentang Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN