Buang naratif OKU ‘peminta sedekah

Buang naratif OKU ‘peminta sedekah’

NORAISHAH Mydin Abdul Aziz beramah mesra dengan penjawat awam di Medan Selera Taman Warisan Pertanian, Presint 16, Putrajaya. – UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pandangan sesetengah pihak terhadap orang kurang upaya (OKU) sebagai ‘peminta sedekah’ perlu dibuang daripada minda rakyat Malaysia.

Itu misi besar calon Pakatan Harapan (PH) P125 Putrajaya, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz yang juga tokoh profesional OKU, jika diberi mandat sebagai ahli Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia,Noraishah berkata, sudah tiba masanya orang se­perti beliau dihantar ke Parlimen sebagai wakil rakyat.

“Saya janji akan gunakan segala kepakaran dan kemahiran untuk berjuang demi rakyat terutama dalam meletakkan kualiti sektor kesihatan negara pada tahap sepatutnya,” kata­nya di sini semalam.

Justeru katanya, beliau mahu data pesakit bagi setiap rakyat Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya dan rakyat berhak mendapat perubatan terbaik dengan rawatan serta doktor terbaik.

Noraishah berkata, jika aspek itu dipedulikan, maka setiap warga OKU boleh kembali sihat dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Saya sudah buktikan anak OKU dengan spina bifida (kecacatan di tiub neural) yang berada di bawah jagaan sudah mampu berjalan dan berlari,” katanya.

Bagi Putrajaya pula, Noraishah berkata, beliau akan memastikan penjawat awam di Putrajaya tidak akan dipecat sewenang-wenangnya jika mana-mana kerajaan dipilih memimpin negara.

“Bagi mendekati penduduk di sini, saya turut berkongsi nombor telefon peribadi bagi membolehkan penduduk berkongsi setiap masalah dihadapi.

“Sila WhatsApp saya. Saya mahu dengar dari hati ke hati, apa yang tuan dan puan dambakan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara hebat,” katanya.

Noraishah yang juga bekas pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) menghidap penyakit spina bifida sejak lahir.

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah, Bioteknologi Perubatan daripada University of London, Sarjana Sains Genetik dan Sarjana Muda Sains, Biologi Sel dan Molekul dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Noraishah bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) menentang lima lagi calon termasuk penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional (BN).

Calon lain ialah Naib Presi­den Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin (Perikatan Nasional); Timbalan Presiden Berjasa, Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN