BN boleh jadikan Malaysia lebih hebat

BN boleh jadikan Malaysia lebih hebat

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih hebat dan luar biasa berbanding sebelumnya sekiranya diberi mandat oleh rakyat kembali mentadbir negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kekalahan BN pada 2018 bukan penamat sebaliknya merupakan satu katarsis yang diperlukan untuk gabungan itu memperbaiki diri.

Menurutnya, kekalahan itu merupakan tamparan hebat bagi BN yang menunjukkan kuasa sebenar adalah dalam tangan rakyat.

“BN memohon diberikan mandat untuk menebus segala kesalahan lepas, menyempurnakan kerja yang terkandas dan memeta kemajuan lebih radikal untuk negara ini. 

“Kami punya perancangan yang rapi, terangkum dan luar biasa untuk Malaysia. Lima tahun akan datang, kami akan mengusahakan ekonomi yang terangkum dan berdaya saing, mengukuhkan kelas menengah dan membasmi kemiskinan mutlak. 

“Prasarana akan dibangunkan selari kemajuan teknologi. Tadbir urus kerajaan akan dipaksikan kepada sistem digital agar moden, telus dan beramanah. Semua bakat dan potensi putera-puteri Malaysia akan kita bongkar dan bangunkan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor, BN juga komited untuk memastikan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini akan kembali dieratkan.

“Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan kami sebagai kerajaan hanya bertahan 22 bulan. Mereka tidak lebih baik, tidak lebih berkesan mahupun lebih berwibawa. 

“PH tersungkur kerana sikap jelek pemimpin sendiri yang khianat pada parti dan mandat pengundi. Malaysia kemudiannya berada dalam ambang ketidakstabilan politik dengan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk beramai-ramai keluar dan mengundi dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, serta tidak mengulangi episod hitam negara dalam tempoh lima tahun lalu.

“Kita mesti buat pilihan yang betul untuk mengembalikan semula Malaysia ke landasan pemerintahan yang teratur, diyakini dan mempunyai kejelasan dalam halatuju. 

“Malaysia mesti dipulihkan menjadi kuasa ekonomi unggul, kemiskinan dibasmi, kesenjangan bandar dan di desa dikecilkan, jutaan pekerjaan dicipta, kemajmukan dirai, alam sekitar dilestari dan pendidikan direvolusi.

“Ayuhlah bersama-sama kami kita pilih BN,” tegasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya