BAITULMUQADDIS: Tentera Israel didakwa menyerang guru dan pelajar ketika melakukan serbuan di sebuah sekolah rendah di bandar al Khalil di selatan Tebing Barat.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan semakin meningkat di seluruh wilayah Palestin yang diduduki Israel berikutan operasi ketenteraan rejim zionis yang mengorbankan puluhan penduduk Palestin hampir setiap hari.
Lapor Press TV, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan di al-Khalil, Atef al-Jamal mendakwa tentera Israel memecah masuk bilik darjah di Sekolah Rendah al-Hajriya sehingga menyebabkan panik dalam kalangan pelajar.
Beliau mendakwa tentera Israel turut memukul guru dan pelajar serta menyembur serbuk lada ketika mereka cuba mempertahankan diri dengan menolak pasukan anggota itu.
Seorang guru dikenali sebagai Ihab al-Rajbi mengalami kecederaan di bahagian tangannya.
Tentera Israel juga menahan dan menyoal siasat dua pelajar sekolah selepas mengheret mereka keluar dari bilik darjah.
Bagaimanapun, pelajar berkenaan sudah dibebaskan.
Insiden itu berlaku pada hari yang sama selepas seorang kanak-kanak Palestin meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika dikejar oleh tentera Israel di Tebing Barat.
Ketika kejadian, Rayyan Suleiman, 7, sedang pulang dari sekolah bersama rakan-rakan lain di Kampung Tuqu sebelum dikejar oleh pasukan tentera dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pegawai tempatan dan keselamatan Palestin memaklumkan tentera Israel menahan tujuh penduduk Palestin dan mencederakan dua lagi dalam satu operasi serbuan di beberapa kawasan di Tebing Barat.