JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes membaling pisau dan mengenai adik lelakinya sehingga maut di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nurmadiana Mamat selepas membenarkan permohonan dikemukakan pegawai penyiasat dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Suspek berusia 18 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga.
Pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah di Gelang Patah itu ditahan semalam.
Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas terkena pisau yang dikatakan dibaling kakaknya.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca perselisihan faham antara dua beradik itu yang berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Menurut ibu mangsa, suspek mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas diejek ketika masuk ke dalam rumah sehingga menyebabkan pergaduhan dua beradik itu.
Pihak polis yang mendapat panggilan kecemasan mengenai kejadian itu mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 2.30 petang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN