DUN Kedah tolak usul bahas antilompat parti

DUN Kedah tolak usul bahas antilompat parti

KEDAH
JUHARI BULAT

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak usul yang dikemukakan pembangkang berkaitan antilompat parti yang sebelum ini dikuat kuasa di peringkat Parlimen.

Usul berkenaan dikemukakan Tan Kok Yew (Pakatan Harapan-Derga) pada sesi sidang DUN Kedah yang bersambung hari ini.

Menurut Juhari, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri akan membahaskan usul itu pada sidang DUN akan datang.

“Walaupun peringkat Parlimen menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan melompat parti pada 5 Oktober lalu, namun kerajaan negeri mempunyai masa untuk berbuat demikian.

“Usul dibawa Derga tentang antilompat parti ini baik dan memenuhi kriteria tetapi saya tolak,” katanya sebelum memulakan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Juhari menambah, menurut Perkara 6, Jadual 8 kerajaan negeri masih mempunyai masa untuk menguatkuasakan Rang Undang-Undang lompat parti.

“Kerajaan (negeri) pun sudah maklum, kita nak buat secara teratur Rang Undang-Undang lompat parti,” katanya.

Setakat ini, Perlis antara negeri yang meluluskan enakmen anti lompat parti dan menguatkuasakan RUU lompat parti itu bermula 1 November. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN