SEATTLE: Jerebu dan asap tebal menyelubungi ruang udara di Seattle dan Portland berikutan kebakaran hutan yang melanda Oregon dan Washington baru-baru ini.
Pencemaran udara yang disifatkan paling terburuk di Amerika Syarikat (AS) itu menjejaskan lebih empat juta penduduk apabila langit bertukar gelap sehingga menyukarkan pernafasan.
Portal federal airnow.gov melaporkan, 10 lokasi dengan kualiti udara paling buruk dicatatkan di Washington atau Oregon, dengan Oakridge di Oregon berada mencatat angka tertinggi 487 di paras bahaya.
Seattle mendahului senarai bandar dengan persekitaran udara sangat tidak sihat apabila mencatat indeks kualiti udara sebanyak 207 diikuti Portland dengan angka 204.
“Di Portland, udara berjerebu dan orang ramai memakai topeng muka N95 di luar ketika berjalan atau menaiki basikal melalui bandar,” jelas Jurucakap Jabatan Kualiti Alam Sekitar Oregon, Harry Esteve.
Semalam, Oregon memperluas amaran kualiti udara meliputi kebanyakan negeri termasuk Portland.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai berada di dalam rumah dan menggunakan sistem penapis atau pembersih udara.
Dalam pada itu, Esteve berkata, pasukan bomba di Oregon bimbang keadaan kering ketika musim panas boleh menyebabkan api terus marak.
Situasi itu boleh menghasilkan asap tebal walaupun hujan dijangka turun hari ini.
Portal kerajaan persekutuan, InciWeb, menunjukkan lebih 24 kebakaran hutan dikesan di Washington dan Oregon dengan kira-kira 10 lagi kebakaran dikesan berlaku dalam beberapa jam pemanduan dari Portland- REUTERS










