ADUN Bersatu sertai Warisan

ADUN Bersatu sertai Warisan

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Belum pun reda dengan berita seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) keluar parti, empat lagi ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikhabarkan akan keluar bagi menyertai Parti Warisan (Warisan).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau tidak percaya dengan khabar angin sebegitu kerana belum diketahui kesahihannya.

“Itu yang saya dengar tapi, saya pun tidak tahu mengenainya. Kadang-kadang orang kata, jangan percaya dengan apa yang kamu dengar dan lihat kerana sebahagiannya mungkin tidak benar,” katanya semasa ditanya mengenai khabar angin empat lagi ADUN GRS mahu menyertai Warisan.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Presiden dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Putatan semalam.

Sejak semalam tular dalam media sosial, empat lagi ADUN GRS dikatakan bakal keluar parti bagi mengikut jejak ADUN Bandau yang bertindak meninggalkan Bersatu pada Sabtu.

Mohd. Shafie berkata, ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda telah menyatakan hasrat ingin menyertai Warisan.

“Kita parti pembangkang jadi, kita tiada apa-apa untuk tawarkan kepada dia, kita tidak boleh bagi jawatan menteri. Dia (Wetrom) pembantu menteri, kalau dia pentingkan rakyat, saya fikir kenapa tidak pertimbangkan penyertaannya.

“Saya katakan jika ada cara untuk kita kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah, saya tidak kisah, biarpun esok. Ia cara terbaik untuk kita satukan rakyat Sabah,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, Warisan tidak beri jaminan bahawa Wetrom akan jadi calon Kota Marudu kerana perkara itu perlu diteliti.

“Saya katakan kepada dia, sertai kita dulu. Soal calon, kita akan lihat siapa yang paling sesuai.

“Saya sangat teliti dalam menyemak siapa yang berkebolehan jadi calon. Bukan hanya dia sertai kita, dia jadi calon. Jika dia boleh menang, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pada masa ini Warisan mempunyai jumlah ADUN yang paling ramai, iaitu 18 ADUN. Warisan sebagai parti tunggal yang memiliki ADUN paling ramai di Sabah.

“Kita ada 18 (ADUN), kita blok terbesar dengan jumlah ADUN yang paling ramai, bukan Bersatu, bukan UMNO dan bukannya PBS (Parti Bersatu Sabah) mahupun STAR (Parti Solidariti Tanah Airku).

“Mereka hanya bergabung bersama-sama membentuk kerajaan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Warisan menang 23 kerusi sebelum enam ADUN keluar meninggalkan Warisan.

Kemudian, dua ADUN DAP menyertai parti itu dan satu kerusi dimenangi Warisan pada PRN Sabah masih kosong selepas penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.