SHAH ALAM: Tindakan seorang pekerja aksesori kereta mencuri dan melarikan barang kemas di sebuah kedai emas di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, semalam mengundang padah apabila dicekup polis.
Kejadian tular dalam media sosial kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan lelaki berusia 34 tahun yang ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang pekerja premis itu pukul 1.05 petang.
Katanya, wanita itu memaklumkan suspek ditangkap atas bantuan orang ramai selepas mencuri rantai emas di sebuah kedai di kawasan tersebut.
“Lelaki tersebut ditangkap dengan bantuan orang awam. Barang kemas yang dicuri suspek adalah dua utas rantai yang berharga kira-kira RM1,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TULAR rakaman video memaparkan seorang lelaki ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada polis selepas melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas dekat Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, semalam.
Mohd. Iqbal berkata, suspek ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Shamsul Azeerin di talian 012-9802652,” katanya.
Terdahulu, tular dua video memaparkan polis menahan seorang lelaki yang dikatakan selepas mencuri emas di sebuah kedai di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Sri Muda. – UTUSAN