MELAKA: Sistem bekalan elektrik Hospital Melaka yang berusia 92 tahun selesai dinaik taraf secara reka dan bina dengan kos sebanyak RM23.8 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, projek naik taraf itu diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan dilaksanakan kontraktor, Lapisan Rezeki Sdn. Bhd.
Menurut beliau, tempoh penyiapan projek itu mengambil masa 24 bulan bermula dari tarikh pengambilalihan tapak pada 21 September 2020 dan siap sepenuhnya sebulan lebih awal dari yang ditetapkan.
“Projek ini siap pada 15 Ogos lepas berbanding tarikh asal iaitu 18 September. Hospital Melaka dibina pada tahun 1934 dan sistem bekalan elektrik yang diguna pakai mencecah 92 tahun.
“Oleh itu, wujud keperluan untuk menaik taraf sistem ini agar dapat menyediakan bekalan yang lebih cekap dan stabil. Kecekapan pengurusan projek oleh JKR negeri membantu penjimatan kos sebanyak RM3 juta.
“Projek ini juga berjaya disiapkan dengan pakej 11 dalam satu antaranya penyediaan 33 dokumen Kementerian Kesihatan (KKM) semasa penyerahan, penjimatan kos dan tiada kemalangan berlaku semasa pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan projek naik taraf sistem bekalan elektrik Hospital Melaka di sini, hari ini.
Tambah Sulaiman, operasi Hospital Melaka akan lebih lancar susulan penyiapan sistem bekalan elektrik baharu itu.
Katanya, pelbagai perancangan boleh dirangka bagi memastikan hospital berkenaan terus berkembang sesuai dengan keperluan semasa.
“Sistem perubatan kita semakin canggih dan memerlukan bekalan elektrik yang stabil serta mencukupi. Sebab itu kita naik taraf bekalan ini sejajar dengan keperluan Hospital Melaka pada masa akan datang.
“Kalau hendak lakukan sesuatu seperti pembedahan atau prosedur tertentu di hospital, ia memerlukan bekalan yang mencukupi. Begitu juga pertambahan bangunan baharu yang memerlukan satu sistem elektrik yang stabil,” ujarnya. – UTUSAN