Mereka sudah jadi anak syurga - Nurul Ain

Mereka sudah jadi anak syurga – Nurul Ain

MUHAMMAD FIKRI ABDUL MUBIAN (duduk, dua dari kiri) tenang melihat jenazah dua anaknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, di Taman Istimewa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Saya reda, kedua-duanya sudah menjadi anak syurga, saya tidak perlu risau apa-apa lagi.”

Demikian luahan Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, ibu kepada dua kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini semalam.

Jenazah kedua-dua anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, di Taman Istimewa, di sini pukul 5.30 petang ini.

Meskipun bersedih dengan kejadian berkenaan, Nurul Ain tetap reda dan menerima ketentuan Ilahi buat keluarga kecilnya itu.

“Cuma mula-mula itu saya terasa sangat sedih kerana selepas kebakaran tersebut berjaya dipadamkan, saya orang pertama lihat dia (Muhammad Zafran Muhammad Fikri) memeluk adiknya,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, suaminya, Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, bersyukur kerana jenazah dua anaknya telah selamat dikebumi dan semua urusan berjalan lancar.

“Sudah tentu masih bersedih, tetapi saya tetap berasa lega kerana jenazah mereka sudah selamat dikebumikan. Saya juga tidak tahu hendak kata apa-apa lagi,” jelasnya.

Upacara pengebumian tersebut dihadiri lebih 50 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang bergegas dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak selepas mengetahui tragedi menimpa keluarga itu.

Semalam, Muhammad Zafran dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, ditemukan rentung dalam kebakaran di kediaman yang disewa keluarga berkenaan pukul 1.41 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN