KUALA TERENGGANU: Tiada istilah mustahil untuk Terengganu FC (TFC) mencipta kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA malam ini.
Menurut penyerang legenda Penyu, Zulkifli Hamzah, 63, barisan pemain TFC hanya perlu mengelakkan sikap rendah diri atau terlalu menghormati pihak lawan biarpun dianggap pasukan bukan pilihan.
Bekas penyerang skuad negara era 70-an sehingga 80-an itu berkata, masanya telah tiba untuk TFC membuktikan kemampuan dengan menamatkan kemarau kejuaraan selama 11 tahun.
“Pada saya, jika setiap pemain TFC yakin dengan diri sendiri dan tiada perasaan gentar, mereka boleh mempamerkan aksi terbaik serta bermain mengikut rentak tersendiri.
“Walau pasukan lawan serba lengkap atau bertaraf Asia sekalipun, pemain TFC jangan sesekali rasa kerdil sebaliknya menunjukkan semangat juang tinggi dan beri lebih dari 100 peratus.

“TFC juga membawa momentum kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dan saya yakin prestasi itu boleh diteruskan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Ibai, di sini baru-baru ini.
Zulkifli merupakan anggota skuad negara yang layak ke Olimpik 1980 di Moscow, Russia berpendapat, kelibat pemain sayap, Faisal Abdul Halim, akan menjadi penentu nasib Sang Penyu bertemu JDT.
Jelasnya, Faisal kini dalam prestasi terbaik namun perlu berwaspada dengan helah atau cubaan pemain lawan yang sudah tentu mahu mengganggu rentak permainan TFC.
“Tidak dinafikan JDT adalah pasukan pilihan di atas kertas. Namun TFC tidak kurang hebatnya dengan Faisal pasti menjadi senjata selain, Kipre Tchetche yang kembali berbisa di depan gol.
“Permainan mereka semakin baik dan jika semua pemain berdisiplin, keputusan akan memihak TFC,” ujarnya yang beraksi pada final Piala Malaysia 1982 ketika Terengganu tewas 0-1 kepada Selangor. – UTUSAN ONLINE