Selangor pecat Feichtenbeiner, Nidzam naik pangkat

Selangor pecat Feichtenbeiner, Nidzam naik pangkat

Michael Feichtenbeiner
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akhirnya desakan penyokong-penyokong Selangor didengari pengurusan Red Giants apabila melucutkan tugas Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut.

Kekosongan itu akan diisi sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih Selangor, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama sebagai Ketua Jurulatih sementara bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022.

“Selangor FC hari ini mengumumkan bahawa pihak pengurusan tertinggi dan Michael Feichtenbeiner telah mencapai persetujuan bersama untuk beliau melepaskan jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Utama yang telah digalas selama setengah musim,” perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media Selangor FC, hari ini.

Bagaimanapun, jawatan Feichtenbeiner sebagai Pengarah Sukan Selangor FC kekal dan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab bagi projek pembangunan bola sepak Red Giants.

“Beliau (Feichtenbeiner) akan memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan kelab itu yang disandang beliau sejak tahun 2020.

“Projek pembangunan bola sepak Selangor yang dimulakan Michael Feichtenbeiner sejak tahun 2020 telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili Pasukan Utama Selangor FC dan Pasukan Kebangsaan.

“Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari Pasukan Feeder Selangor FC telah diserap ke Pasukan Utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.

“Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 Kebangsaan dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili Skuad B19 Kebangsaan untuk pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia.

“Selangor FC juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak Kelab percaya bahawa projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan Kelab ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pencarian Ketua Jurulatih Selangor yang baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya