PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir dua jam sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Ia susulan amaran ribut petir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang); Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga pukul 12 tengah hari.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” jelasnya. – UTUSAN










