Redah laluan tanah merah sejak merdeka

Redah laluan tanah merah sejak merdeka

LALUAN tanah merah menuju ke Kampung Terian, Penampang. – FOTO/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Berjalan kaki meredah laluan tanah merah sudah menjadi rutin penduduk Kampung Terian, Penampang sejak merdeka.

Walaupun kampung itu berada di pinggir bandar raya, kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap dan bekalan elektrik belum pernah dinikmati oleh kira-kira 200 orang penduduk kampung tersebut.

Seorang penduduk dikenali sebagai Judith, 52, berkata, berjalan kaki antara empat hingga lapan jam meredah hutan untuk ke Pekan Penampang sudah menjadi kebiasaan jika tiada kenderaan yang boleh ditum­pang.

Biarpun keadaan jalan sekarang lebih baik berbanding lima tahun lalu kerana sebahagiannya sudah ditaburi batu sungai namun apabila musim hujan, keadaan akan berlumpur dan menyukarkan kenderaan keluar dari kampung tersebut semasa musim hujan.

“Itu sebabnya apabila ada keperluan penting sahaja kami akan keluar berjalan kaki ke pekan. Tetapi, jika ada kenderaan yang boleh ditumpang, kami perlu membayar sehingga RM60 untuk tambang pergi dan balik,” katanya.

Tambah beliau, penduduk di situ masih bergantung kepada solar untuk bekalan elektrik kerana tiada bekalan elektrik sehingga sekarang.

DOLING KAYUNG

Bagi Doling Kayung, 60, perjalanan dari kampung itu ke bandar raya Kota Kinabalu hanya sekitar satu hingga dua jam perjalanan namun, kemudahan infrastruktur asas masih belum dibekalkan kepada penduduk di situ.

“Keadaan jalan di sini ba­nyak longkang sebab bila musim hujan, laluan kenderaan akan membentuk lubang yang besar. Jadi, ada kalanya kami akan berjalan kaki jika kenderaan tidak boleh lalu di kawasan berlumpur.

“Biasanya, kami ke pekan untuk membeli barang keperluan jadi, apabila pulang perjalanan akan mengambil masa lebih lama kerana terpaksa mengangkat barangan yang berat menggunakan wakit atau barait,” katanya.

Jika perlu berjalan kaki keluar, mereka akan ikut Laluan Garam sebab kawasan itu banyak pokok dan tidak panas.

Katanya, hasil tanaman juga sukar di­bawa keluar disebabkan keada­an jalan yang mencabar. Itu sebabnya, beliau hanya akan membawa hasil tanaman kebun seperti halia jika ada orang yang membuat tempahan.

Katanya, tanaman seperti ha­lia me­ngambil masa lapan bulan untuk mengeluarkan hasil jadi, apabila ada orang buat tempahan baru saya akan petik dan hantar ke pekan.

Kadang-kadang, tambahnya, dia kumpul tempahan sehingga 100 kilogram dan harga jualan halia sekarang RM7 sekilogram.

“Sekiranya tiada tempahan luar, kami hanya menjual hasil tanaman sayur-sayuran dalam kalangan penduduk kampung ini sahaja.

“Kalau mahu menjual di tamu mingguan di Donggongon, kos pengangkutan lebih tinggi berbanding hasil pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN