BEIJING: Sebuah pusat peranginan pantai di China dikenakan perintah berkurung selepas mencatatkan kira-kira 500 kes baharu Covid-19.
Perintah berkurung itu mengakibatkan lebih 80,000 pelancong yang sedang bercuti, terkandas di hotel di Sanya selama seminggu.
Lapor Daily Mail, Sanya yang terletak di bandar selatan di Pulau Hainan, turut dikenali sebagai `Hawaii China’ dengan iklim nyaman sepanjang tahun.
Perintah berkurung dilaksanakan di Sanya sejak Sabtu lalu, dengan operasi perniagaan berhampiran bandar Haikou ditutup dari pukul 7 pagi hingga 8 malam.
Individu yang mahu meninggalkan Sanya perlu disahkan negatif bagi Covid-19 menerusi lima ujian PCR sepanjang tujuh hari.
Empat bandar lain dan empat daerah di Hainan mula melaksanakan perintah berkurung selama dua hari atau lebih sejak Ahad dan Isnin.
Lebih 470 kes Covid-19 dilaporkan di wilayah itu, Ahad lalu, dengan 245 kes daripada jumlah itu tidak menunjukkan gejala.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, China melaporkan lebih 760 kes harian Covid-19 di seluruh negara.
China masih berpegang teguh pada strategi sifar Covid-19 dengan pelaksanaan perintah berkurung segera dan tempoh kuarantin lama sehingga menjejaskan industri pelancongan tempatan.