JOHOR BAHRU: Seorang jurutera wanita kerugian RM261,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian melibatkan pelaburan kupon yang tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa yang berusia 40 tahun membuat laporan tentang kejadian itu kelmarin dan memaklumkan telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi Tinder.
“Pada pertengahan Julai lalu, mangsa telah diperdaya membeli kupon yang dijual suspek dengan mangsa dijanjikan mendapat pulangan modal dan komisen lima peratus dalam tempoh 30 minit pembelian dibuat.
“Menggunakan wang simpanannya, mangsa telah melakukan 17 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM261,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Fariz Ammar memberitahu, mangsa turut diberikan satu pautan laman web untuk melihat keuntungan yang bakal diperoleh namun pautan berkenaan tidak dapat diakses.
“Mangsa hanya menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket dalam talian selepas suspek gagal dihubungi,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan orang tidak dikenali yang berurusan menerusi platform media sosial. – UTUSAN









