JDT jadikan Melaka United 'mangsa belasahan'

JDT jadikan Melaka United ‘mangsa belasahan’

DUA jaringan Bergson da Silva membolehkannya memecah rekod penjaring terbanyak Liga Super.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas membelasah Melaka United FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip 41 mata menerusi 15 perlawanan, enam mata di hadapan Sabah FC dengan kelebihan satu perlawanan.

Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi bertenaga memberi tekanan kepada pasukan pelawat dalam usaha memburu gol awal.

Pada minit kelima, Leandro Velazquez menguji kecekapan penjaga gol, Tian Keat See dengan melakukan rembatan dari jarak jauh, namun percubaan itu berjaya dinafikan penjaga gol itu.

Seminit kemudian, giliran Arif Aiman Hanapi membuat percubaan tepat ke arah gol dengan melakukan rembatan dari sudut sukar, namun Keat See tangkas melayangkan badan menyelamatkan gawangnya.

Pasukan kendalian Hector Bidoglio terus melakukan serangan bertali arus ke arah kubu lawan dengan Danial Amier Norhisham yang melakukan percubaan, sayangnya rembatan itu jauh tersasar.

Gol pembukaan yang diburu JDT akhirnya hadir pada minit ke-13 menerusi rembatan lencong Fernando Forestieri dari luar kotak penalti, menerjah penjuru kanan gol melepasi jangkauan Keat See.

Leandro hampir menambah jaringan, namun rembatan yang dilakukan sekadar melewati palang gol.

Gawang Melaka United sekali lagi dibolosi pada minit ke-32 menerusi jaringan Bergson Da Silva yang bijak memanfaatkan umpanan cantik Forestieri dengan melakukan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan.

Sepuluh minit berselang, Bergson menggandakan jaringan apabila mendada hantaran silang Corbin Ong sebelum melepaskan rembatan leret yang menyebabkan penjaga gawang lawan hanya terpaku memerhati gol menerjah jaring.

Pada hujung babak pertama, pasukan pelawat mencemaskan JDT menerusi percubaan Syahrul Azwari Ibrahim, namun penjaga gol, Haziq Nadzli bijak menutup ruang bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Bersambung babak kedua, percubaan pemain pertahanan, Carli de Murga untuk menghasilkan jaringan dinafikan pertahanan lawan dengan mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Pada minit ke-53, penjaga gol Melaka United menafikan hasrat Bergson untuk meledak gol ketiga peribadinya pada perlawanan itu dengan menangkap rembatan pemain kelahiran Brazil itu.

Biarpun ketinggalan, skuad bimbingan Mohd. Asri Ninggal tetap melawan dengan melakukan beberapa percubaan, namun gagal menggegar gawang JDT.

Melaka United semakin ‘tempang’ apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Khairul Anwar Shahrudin mengalami kecederaan ketika pasukan sudah menggunakan semua pertukaran termasuk membawa keluar satu-satunya pemain import, Adriano Aparecido pada babak pertama.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah yang menggandakan asakan ke arah kubu lawan bagi menambah derita Melaka United.

Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-85 apabila melepaskan rembatan deras menerjah gawang lawan, gol ke-20 bagi penyerang sensasi itu dalam saingan liga musim ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN