ALOR SETAR: Pelawaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk UMNO menumpang kekuatan Pas di Kedah, tampak tidak bersambut malah ditolak dengan nada tegas oleh Barisan Nasional (BN) negeri.
Ketua Komunikasi BN negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, parti itu sama sekali tidak berminat dan tidak mahu ‘berkasih sayang’ dengan Pas, hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai.
Menurutnya, penolakan tersebut bukan kerana UMNO atau BN sombong sebaliknya penyatuan perlulah dibina atas niat serta sebab yang baik, dan bukan semata-mata kerana hendak kekal berkuasa atau mahukan lebih banyak kerusi.
“UMNO ini parti politik dan ada pengalaman memerintah. Jadi saya tidak akan berdolak-dalik atau segan silu mengakui yang kami memang berhajat untuk berkuasa dan memerintah.
“Parti politik mana yang tak mahukan itu tetapi kami masih ada prinsip. Janganlah kita berpeluk dan berdakap hanya ketika musim pilihan raya dan jika itu berlaku, di mana nilai perjuangan dan pendirian serta contoh tauladan yang baik kepada rakyat?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, jika hubungan itu benar-benar mahu dibina, perkara itu perlu dilakukan dengan konsisten dan bukannya berjalan secara bermusim.
“Tetapi sebelum ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mereka mahu bersendiri. Selepas tersungkur, kembali menyatakan kesediaan bekerjasama dan selepas itu kembali solo pula dalam PRN Johor.
“Selepas ‘tertomoih’ sekali lagi membuka mulut mengajak bersama. Di Kedah pula, sepanjang tahun UMNO dikecam dan dipersalahkan dengan pelbagai perkara tetapi menjelang PRU, tiba-tiba kita diajak kembali bekerjasama,” katanya.
Keadaan itu katanya, tidak hanya mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat dan UMNO malah turut menghadirkan rasa sama dalam kalangan penyokong Pas sendiri.
“Selain itu, UMNO Kedah mahu dinilai dan dipilih kerana keupayaan dan kesungguhan sendiri. UMNO sedar kita bukan parti sempurna tetapi kita juga percaya yang UMNO bukan dalam keadaan ‘hilang punca’ kerana kami memiliki kekuatan dan kelebihan sendiri.
“Kalau rakyat yakin, mereka akan memilih kami tetapi kalau rakyat rasa UMNO belum kuat atau belum bersedia, mereka akan menolak. UMNO akan terima dengan terbuka kerana ini gelanggang demokrasi,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Shaiful Hazizy dalam nada sinis turut menekan bahawa penolakkan UMNO itu antaranya kerana tidak mahu ‘merosakkan’ Pas.
“Menteri Besar yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat sudah membuat penegasan bahawa parti itu kuat di Kedah dan dipenuhi ulama serta golongan terpelajar yang semuanya pintar dan hebat. Jadi sebagai itik patah kaki, harimau kena tembak dan segala jenis gelaran mahu pun panggilan Pas kepada UMNO, kita percaya UMNO bukan rakan kongsi yang baik atau secocok buat Pas.
“Tanpa UMNO pun, Pas sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi. Jadi kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja kami ucapkan. Terima kasih kepada Pas kerana menganggap UMNO rakan kerjasama yang layak diajak berganding tangan dalam PRU akan datang tetapi seperti ditegaskan, pinggan tak retak, nasi tak dingin,” katanya. –UTUSAN










