Russia bergelut baiki kenderaan tempur rosak di Ukraine - Utusan Malaysia

Russia bergelut baiki kenderaan tempur rosak di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) mendakwa tentera Russia ketika ini sedang bergelut untuk mengesan dan membaiki ribuan kenderaan tempur yang rosak dalam operasi ketenteraan di Ukraine.

Kementerian menerusi taklimat baharu menyatakan perisikan UK mengenal pasti kenderaan tentera Russia yang dibaiki dan kemudahan membaiki berhampiran Barvinok di wilayah Belgorod Russia, kira-kira 10 kilometer dari sempadan Ukraine.

“Sekurang-kurangnya 300 kenderaan rosak berada di sana termasuk kereta kebal utama, pengangkut anggota berperisai dan trak sokongan am,” jelas kementerian itu.

Kementerian itu juga memaklumkan komander Russia sedang menghadapi dilema sama ada menempatkan pasukan di wilayah timur Donbas atau memperkukuhkan pertahanan di kawasan dikepung seperti Kherson.

Ia berlaku ketika tentera Ukraine bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas.

Sementara itu, gabenor Valentyn Reznichenko mendakwa tentera Russia menembak lebih 40 roket ke arah kawasan Nikopol di wilayah Dnipropetrovsk.

Katanya, serangan itu menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cedera dan enam rumah penduduk serta sebuah saluran paip musnah dalam kejadian.

Menurut beliau, serangan roket turut mengenai sebuah premis pertanian tempatan di daerah Dniprovsky.

“Dua hangar terbakar di kawasan itu, anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan,” katanya menerusi Telegram.

Tambah Reznichenko, kawasan penempatan Zelenodol turut dibedil dengan artileri laras namun tiada laporan kecederaan dan kemusnahan berlaku. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya