Rogol: Empat sekawan berdepan penjara 30 tahun

Rogol: Empat sekawan berdepan penjara 30 tahun

KESEMUA tertuduh diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rogol secara beramai-ramai dan amang seksual fizikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rogol secara beramai-ramai, Ahad lalu. 

Kesemua tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19; Muhammad Firdaus Noor Apande,18, serta dua lagi rakan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun kira-kira pukul 4 pagi di Lapangan Terbang Aerodrome Sungai Rambai dalam daerah Jasin pada 17 Julai lalu. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama. 

Sementara itu, Khairul Asnawi turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu, tempat dan tarikh sama. 

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi tidak mencadangkan sebarang jaminan bagi kesalahan rogol, namun memohon jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dikenakan bagi kes amang seksual fizikal. 

Peguam Chua Yong Yi bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan alasan Khairul Asnawi merupakan anak sulung dan perlu membantu keluarga menjaga tiga adiknya, selain bapa hanya bekerja di kilang papan. 

Katanya, Muhammad Firdaus pula mempunyai adik berusia 12 tahun, manakala anak guamnya berusia 17 tahun telah kematian ibu dan ayahnya baru sahaja terlibat kemalangan jalan raya, minggu lalu. 

Seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun merupakan anak bongsu dan ayahnya pula menghidap penyakit jantung. 

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Firdaus dan tertuduh berusia 17 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, manakala RM5,000 bagi tertuduh berusia 16 tahun. 

Khairul Asnawi bagaimanapun dikenakan jaminan sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh dilarang mengganggu mangsa dalam apa jua keadaan sekalipun, sehingga kes selesai dan menetapkan tarikh 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.  -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN