Pemilihan awal UMNO bertentangan keputusan akar umbi - Utusan Malaysia

Pemilihan awal UMNO bertentangan keputusan akar umbi

AHMAD Maslan (tengah) bersama sebahagian penerima Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Pontian di Dewan SMK Parit Betak, Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebarang cadangan supaya pemilihan parti diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh akar umbi sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dan PAU Khas pada Mei telah menjelaskan perkara tersebut.

Katanya, berdasarkan kedua-dua perhimpunan tersebut, persetujuan sebulat suara telah dicapai berhubung pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU.

“Saya harap Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memahami kedudukan tersebut, tentunya beliau hadir pada PAU tersebut,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) Parlimen Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak, Benut, di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan Mohamed Nazeri supaya parti mengadakan pemilihan parti sebelum PRU15 kerana UMNO kini memiliki dua nakhoda iaitu satu kumpulan Presiden parti dan satu lagi kumpulan Perdana Menteri.

Jun tahun lalu, UMNO mengumumkan penangguhan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tiada istilah UMNO mempunyai dua nakhoda kerana parti itu UMNO diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bukannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

“Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri walaupun diterajui oleh Naib Presiden UMNO (Ismail Sabri) bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana diterajui oleh beberapa parti di dalamnya,” ujarnya.

Beliau menolak dakwaan UMNO berdepan sebarang masalah dalaman kerana perjalanan parti berjalan seperti biasa bukan disebabkan pemecatan seseorang individu sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN