PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tidak merancang menamatkan penggunaan aplikasi MySejahtera malah sedang berusaha memperluas fungsinya sebagai aplikasi kesihatan awam yang umum.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, terdapat perancangan untuk menggunakan MySejahtera sebagai medium bagi menyimpan maklumat kesihatan pengguna.
“Kerajaan melihat platform aplikasi MySejahtera mempunyai potensi yang tiada batas dan sedang dalam perancangan untuk menambah ciri-ciri serta modul yang membantu pengguna memantau dan mempertingkat tahap kesihatan kendiri dengan mudah dan tepat.
“Kita yakin penggunaan aplikasi MySejahtera terus kekal relevan dalam memacu rakyat ke arah Revolusi Industri 4.0 selaras dengan Pelan Strategik Pendigital Sektor Awam (PSPA) 2021-2025,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Noor Azmi, MySejahtera juga sedang dibangunkan untuk membolehkan ibu bapa dan penjaga menyimpan rekod imunisasi anak-anak serta kanak-kanak jagaan mereka.
“Ini memudahkan ibu bapa tentang sejarah imunisasi anak-anak kerana aplikasi itu akan memaparkan sijil imunisasi digital untuk setiap vaksinasi yang diterima.
“Bagi pengguna dewasa, mereka melakukan saringan kesihatan kendiri dan menyimpan maklumat serta sejarah kesihatan peribadi dalam MySejahtera,” katanya.
Sementara itu, pakar keselamatan maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir berkata, isu keselamatan data dan privasi pengguna perlu diberi perhatian serius jika MySejahtera mahu digunakan secara berterusan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan aspek privasi terus terjamin di samping tiada diskriminasi timbul untuk digunakan oleh semua pihak.
“MySejahtera sudah memiliki data-data peribadi individu termasuk nombor telefon, alamat di samping rekod kesihatan. Mungkin fungsinya itu boleh dikembangkan lagi untuk tujuan-tujuan lain termasuk penyakit berjangkit, vaksinasi atau saringan kesihatan,” katanya. – UTUSAN










