JAKARTA: Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan memohon syarikat teknologi, Grab memindahkan ibu pejabatnya yang berpangkalan di Singapura ke Indonesia.
Lapor CNN Indonesia, Luhut berkata, beliau akan menyokong penuh usaha Grab untuk membangunkan kenderaan elektrik sekiranya ibu pejabat syarikat itu dipindahkan ke negara ini.
“Selagi menyokong Indonesia, kami hanya mempunyai satu permintaan iaitu mahu ibu pejabat Grab yang kini di Singapura untuk berpindah semula ke negara ini,” katanya pada majlis pelancaran kenderaan elektrik Grab.
Permohonan itu dibuat oleh Luhut kepada Presiden Pengarah Grab Indonesia, Ridzki Kramadibrata.
Kata Luhut, beliau membuat permohonan demikian kerana Grab ketika ini menjana keuntungan besar dari Indonesia.
“Justeru, syarikat itu harus menggunakan kesempatan ini untuk menjana lebih banyak keuntungan di Indonesia dengan memindahkan ibu pejabatnya ke sini,” katanya.
Grab adalah sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Singapura yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan dan logistik melalui aplikasi di Singapura dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Kemboja.
Sebelum ini, Ridzki meminta kerajaan Indonesia menyokong usaha Grab untuk membangunkan kenderaan elektrik di negara itu.
Katanya, sokongan diperlukan terutamanya daripada Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Pertamina, Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan Kementerian Pengangkutan.