Kerajaan tetap tidak stabil selepas PRU-15 jika tiada parti gabungan

Kerajaan tetap tidak stabil selepas PRU-15 jika tiada parti gabungan

DR AWANG AZAMAN ABANG PAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan, namun masalah yang sama akan tetap berlaku jika tiada kerjasama antara mana-mana parti politik di Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana tiada parti politik yang kuat mampu menubuhkan kerajaan yang stabil. 

Jelasnya lagi, jika sesebuah parti bergerak solo dalam PRU15 nanti, ketidakstabilan politik akan berlaku sekali lagi seperti kini. 

“Saya melihat PRU perlu diadakan khusus supaya ada satu parti yang kuat dapat menubuhkan kerajaan. Jikalau dalam keadaan sekarang PRU diadakan, ia masih carca marba juga sebab UMNO pergi solo tidak mungkin untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan berseorangan, Bersatu masih tunggang-langgang, pembangkang masih tidak bersetuju itu dan ini, maka bila kita campur adukkan, tidak ada parti kuat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan. 

“Jadi, PRU sebenarnya akan beri masalah yang sama, sebab itu dikatakan parti politik perlu menjalin kerjasama sebelum PRU, supaya selepas PRU dapat menubuhkan kerajaan yang stabil dan kuat. Kalau nak buat kerjasama selepas PRU, tak payah lah kerana ia akan menimbulkan masalah” katanya menerusi WhatsApp, semalam. 

Tambah beliau, ketidakstabilan politik sudah pasti akan merencatkan pelan perancangan sesebuah kerajaan dalam menggubal dasar, sekali gus kemajuan dalam sesebuah negara sukar untuk   dicapai. 

“Seperti sekarang ini, Perdana Menteri terpaksa menumpukan percakaran dalaman kerajaan persekutuan, umpanya permintaan Bersatu untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, jadi kerana masalah dalaman ini, tumpuan tidak dapat diberikan Perdana Menteri untuk menggubal dasar dan strategi menangani kos Sara hidup tinggi dan berhadapan dengan inflasi amat tinggi.

“Ini masalah tumpuan dan barisan kabinet itu kerana inflasi ketika ini mencakupi berbagai faktor, saya melihatnya tiga serangkai, pandemik, perubahan iklim dan perang Ukraine. Jadi, ini perlukan kerjasama banyak kementerian dan sektor dalam hal ini. Tetapi ia tidak mampu dicapai jika melihat kepada keadaan kerajaan sekarang ini,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, PRU awal merupakan penyelesaian dalam beberapa perkara asas, serta turut dilihat sebagai solusi kepada masalah-masalah nasional yang perlu diatasi segera. 

” Pertama, kerajaan yang stabil dan mendapat mandat jelas. Kedua kepimpinan yang lebih diyakini kerana Perdana Menteri  akan dilantik dari parti yang mendapat kerusi terbanyak dan boleh membentuk kerjasama politik dengan pelbagai parti lain. 

“Ketiga, dasar ekonomi yang jelas dan bukan ‘stop gap measures’ atau dasar yang ad hoc seperti sekarang,” katanya. 

Tambah beliau, penyelesaian jangka masa pertengahan dan panjang hanya akan berlaku jika ada kerajaan yang stabil, pemimpin yang lebih disegani dan lebih dipercayai serta dasar ekonomi yang lebih jelas dan lebih progresif. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN