SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memberikan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkenaan kesalahan jalan raya melalui aplikasi e-Aduan@JPJ.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membantu JPJ mengesan pelaku kesalahan jalan raya.
Katanya, sebagai ‘mata-mata’ JPJ, maklumat daripada orang ramai itu diharap secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Sejak e-Aduan@JPJ diperkenalkan, kami telah menerima lebih 1,000 aduan di seluruh negara. Sistem aduan ini lebih cepat dan mudah bagaimanapun masih ramai orang awam tidak mengetahui sistem ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Operasi Khas Hari Raya Aidiladha di hentian bas Terminal 1 di sini semalam.
Mengulas lanjut, Janagarajan berkata, menerusi e-Aduan@JPJ itu, orang ramai hanya perlu memuat naik video atau gambar beserta lokasi dan waktu kesalahan jalan raya itu berlaku.
“Pihak kami akan membuat siasatan lanjut dan akan mengambil tindakan berkenaan aduan itu. Aduan yang dibuat perlu lengkap dengan waktu, tempat, video dan gambar untuk memudahkan siasatan dijalankan,” katanya. – UTUSAN










