KANGAR: Selain masyarakat awam, golongan selebriti atau profesional juga tidak terkecuali daripada ancaman sindiket penipuan dalam talian yang cuba mengambil kesempatan.
Pelakon dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie berkata, beliau sendiri secara peribadi pernah beberapa kali dihubungi oleh sindiket berkenaan sebelum ini.
Menurut Awie, beliau turut menerima sebanyak 20 hingga 30 panggilan telefon sehari daripada sindiket penipuan itu yang cuba untuk memerangkapnya dengan pelbagai helah.
“Saya juga pernah jawab panggilan sindiket itu, namun, cubaan mereka (untuk menipu) gagal, malah, saya turut berpesan kepada pihak terlibat agar tidak membuang masa dengan melakukan helah berkenaan.
“Dan selepas sahaja saya meletakkan panggilan telefon itu, mereka kemudiannya menghubungi saya kembali dan apabila dijawab, mereka terus memaki hamun dengan kata-kata kesat,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Semenanjung Malaysia Sempena Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 di Hotel Brasmana di sini hari ini.
Hadir sama dalam program tersebut adalah pelawak dan pelakon tanah air, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek.
Menceritakan lebih lanjut, Awie berkata, golongan profesional juga tidak terkecuali menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang turut dipercayai menggunakan teknik pukau.
Penyanyi itu juga memaklumkan individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan kebiasaannya telah direkrut dan dilatih terlebih dahulu bagi memperdayakan mangsa.
“Harapan saya agar masyarakat dapat membuka mata dan anggaplah kita semua ini sebagai duta anti scammer,” katanya.
Tambah Awie, beliau juga secara peribadi turut menasihati orang ramai agar tidak merakam video sekiranya menerima panggilan telefon daripada sindiket berkenaan dengan tujuan untuk mempersendakan pihak terlibat.
“Sekiranya mereka tak dapat kenakan kita, sindiket itu boleh mensasarkan ahli keluarga rapat yang lain. Sebab itu saya minta jangan rekod sebarang video dengan niat untuk mempersendakan sebab mereka juga mempunyai dendam,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Saiful berkata, sindiket penipuan dalam talian ini sentiasa menggunakan pelbagai kaedah berbeza dan berubah-ubah bagi memperdayakan mangsa.
Dalam menangani perkara ini, anggota kumpulan Senario itu berkata, seluruh masyarakat perlu memainkan peranan khususnya dalam melindungi golongan berusia daripada terpedaya dengan ancaman penipuan dalam talian ini.
“Selalunya ada dua golongan terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian ini di mana yang pertama adalah kerana tamak dan kedua pula terdesak. Dan kedua-dua golongan ini sanggup buat apa sahaja bagi memastikan mangsa mereka terpedaya dengan helah sindiket berkenaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE