NEW YORK: Hanya beberapa minggu selepas Amber Heard kalah dalam perbicaraan saman fitnah terhadap bekas suaminya, Johnny Deep, wanita itu dilaporkan masih disiasat berhubung dakwaan sumpah palsu di Australia.
Pelakon itu dan bekas pasangan menjadi subjek kontroversi negara dan digelar ‘Terriergate’ selepas Heard membawa dua anjing tanpa mematuhi kuarantin 10 hari di negara itu.
Pada Julai 2015, pelakon Aquaman itu terlibat dalam penggambaran Pirates of The Caribbean dan menghadapi dua pertuduhan mengimport haiwan itu secara haram.
Selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen perjalanan di mahkamah, kes tersebut ditutup dan pasangan itu membuat permohonan maaf kepada orang ramai menerusi rakaman video.
Pasangan itu meminta anjing peliharaan diterbangkan semula ke Amerika Syarikat dengan jet peribadi, selepas Menteri Pertanian, Barnaby Joyce mengancam untuk membunuh anjing tersebut.
Seorang peguam berkata, Heard membuat kesilapan yang meletihkan dan sangat teruk.
Dalam kenyataan minggu ini, Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar mengesahkan kes tersebut masih berjalan dan Heard masih dalam siasatan.
Jurucakap jabatan berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan sumpah palsu semasa prosiding mahkamah mengenai pengimportan haram dua anjing ke Australia pada 2015.










