IPOH: Pemain dari Republik Croatia, Stipe Plazibat dijangka tiba di negara ini hari ini untuk menjalani ujian bersama Perak FC.
Menurut sumber, penyerang kelab Liga Premier Singapura (S), Lion City Sailors pada musim 2020/21 kemudian akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kecergasan fizikal sebelum menyertai pasukan The Bos Gaurus
“Dia hampir pasti akan beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Christian Universiti Korea Selatan, Ahad ini,” kata sumber tersebut.
Plazibat, 32, menyumbang 14 gol ketika muncul dalam 17 perlawanan untuk kelab Lion City Sailors menjadikannya antara penjaring terbanyak.
Turut berada dalam radar Perak ialah pemain tengah, Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria.
Mereka dijangka tiba esok atau lusa dan akan tiba di Ipoh pada hari Ahad .
“Tidak pasti mereka akan diturunkan dalam perlawanan Ahad ini memandangkan menjalani perjalanan jauh,” katanya.
Sumber itu, berkata jika semua berjalan lancar majlis memeterai kontrak trio itu akan dilakukan pada hari Isnin.
Pemilik Perak FC, XOX Berhad, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi membuat pusingan U apabila memutuskan mengambil khidmat pemain import dalam usaha memperkasakan pasukan dalam baki sembilan perlawanan Liga Perdananya selepas ini.
Perak FC ketika ini diambang penyingkiran dengan mengutip -3 mata.
“Kita jangka mampu mengutip 15 mata daripada sembilan perlawanan yang akan meletakkan pasukan di kedudukan selamat,”katanya.