MELAKA: Pasangan suami isteri yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai pagi semalam, merancang untuk berpindah ke rumah baharu dalam masa terdekat.
Namun, sayangnya, kata anak kedua mangsa, Munirah Ezuddin, 21, ibunya, Surayah Muhamat, 48, serta bapanya, Ezuddin Mohammad, 50, tidak sempat menyempurnakan hasrat itu meskipun sudah membeli beberapa kelengkapan rumah.

Mengulas lanjut, dia memberitahu, sebelum kemalangan, mereka sekeluarga sempat berjalan-jalan di sekitar Banda Hilir, kelmarin.
“Kami sekeluarga sempat berjalan bersama-sama, memang semuanya seronok, malah kami sekeluarga juga sebenarnya dalam perancangan untuk berpindah ke rumah baharu di Sebatu dalam masa terdekat.
“Ayah juga telah beli kelengkapan rumah termasuk mesin basuh dan ibu pula meminta saya untuk mereka hias dalam rumah, namun semua tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Jasin di sini.

Tambah munirah, kedua orang tuanya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan percakapan sejak lahir dan sentiasa bersama-sama termasuk bekerja di kilang yang sama sejak 25 tahun lalu.
“Ibu dan ayah memang selalu bersama-sama, kerja pun tempat sama dan saya tidak sangka mereka berdua meninggal pergi serentak dalam kemalangan ini.
“Allah lebih menyayangi mereka, namun kami sekeluarga berharap pemandu mabuk itu akan dikenakan hukuman setimpal kerana kami bukan kehilangan satu nyawa tetapi dua,” ujarnya sebak.
Tambahnya, dia mempunyai lima adik-beradik dengan empat daripadanya masih bersekolah berusia antara 16 hingga 10 tahun dan mereka sekeluarga menumpang teduh di rumah nenek di Tambak Bugis.
Ujarnya, kemalangan itu hanya diketahui pada pukul 8 pagi menerusi kumpulan WhatsApp keluarganya apabila terdapat individu memaklumkan mengenai kemalangan menggunakan telefon bimbit arwah ibunya.
Ezuddin dan Surayah maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini, semalam.
Mangsa yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah. – UTUSAN











