FAM tidak akan terburu-buru 'hukum' Maloney - Utusan Malaysia

FAM tidak akan terburu-buru ‘hukum’ Maloney

DATUK Hamidin Mohd Amin memberi kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya.-FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan membuat sebarang keputusan terburu-buru termasuk mengenai masa depan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney.

Perkara itu berhubung prestasi hambar anak buah Maloney yang tewas di tangan Korea Selatan dan Thailand dalam dua aksi peringkat Kumpulan C di Piala Asia B-23, sekali gus tersingkir awal dari kejohanan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya mahu memberi ruang kepada skuad ‘Harimau Muda’ untuk menghabiskan baki perlawanan berdepan Vietnam, esok.

“Pendapat saya mereka ada satu lagi perlawanan di Tashkent (Uzbekistan), biarkan mereka habis dulu. Bila kita dapat laporan daripada dia nanti, saya rasa jawatankuasa yang sepatutnya akan buat keputusan.

“Biar mereka lawan dengan Vietnam, sudah tentu bukan saja peminat, saya pun kecewa. Biarlah saya komen nanti selepas saya dapat laporan daripada Brad Maloney.

“Kita akan buat tindakan sewajarnya demi untuk bola sepak negara. Jadi biarkan habis perlawanan mereka, tidak adil untuk saya memberi komen sekarang.

“Mereka masih ada dekat sana, sekurang-kurangnya biar mereka tunjukkan sesuatu lawan Vietnam walaupun kita sudah tidak layak ke suku akhir,” katanya.

Kekalahan 1-4 dan 0-3 di tangan Korea Selatan dan Thailand menyaksikan skuad negara berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Thailand berada di tangga teratas kumpulan, berkongsi empat mata bersama Korea Selatan manakala Vietnam di kedudukan ketiga dengan mengumpul dua mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN