Aira teruskan dominasi Malaysia pada Kejohanan Remaja Asia - Utusan Malaysia

Aira teruskan dominasi Malaysia pada Kejohanan Remaja Asia

AIRA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain muda negara, Aira Azman meneruskan dominasi Malaysia pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia 2022 di Pattaya, Thailand, semalam, apabila mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi Chan Yi Wen pada 2018 dan 2019 dalam kategori perempuan bawah 19 tahun.

Adik kepada Aifa yang berusia 18 tahun itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan hanya memerlukan masa selama 18 minit untuk mengetepikan cabaran Kirstie Wong dari Hong Kong 11-8, 11-3, 11-2.

Aira yang kini menghuni ranking ke-104 dunia, pernah memenangi gelaran untuk kategori bawah 13 tahun pada 2016 dan 2017 serta bawah 15 tahun pada 2018 dan 2019.

Gadis kelahiran Kedah itu kini melengkapkan koleksi pingat yang dimenanginya apabila menjuarai kategori bawah 19 tahun.

Untuk rekod, kategori bawah 19 tahun telah didominasi pemain Malaysia sejak 1991 lagi sehinggalah kali terakhir gelaran juara dimenangi wakil negara pada 2018 dan 2019 di India serta Macau menerusi Yi Wen sebelum Covid-19 melanda dunia.

Selain Yi Wen, deretan gelaran sebanyak 13 kali itu turut pernah dimenangi oleh Sandra Wu, bekas juara dunia, Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Vanessa Raj, Andrea Lee, S. Sivasangari dan yang terbaharu legasi itu diteruskan oleh Aira.

Sementara itu, bagi kategori lelaki bawah 19 tahun, seorang lagi wakil Malaysia, Joachim Chuah tewas di tangan pemain Pakistan, Noor Zaman 9-11, 12-10, 5-11, 9-11.

Kegagalan Joachim itu menyaksikan penantian Malaysia untuk memenangi gelaran dalam kategori lelaki bawah 19 tahun berpanjangan setelah kali terakhir Malaysia menjuarai kategori tersebut menerusi Ivan Yuen pada 2009.

Seorang lagi pemain negara yang pernah menjuarai acara tersebut adalah Azlan Iskandar yang berbuat demikian pada 2001 di Chennai, India.

Selain kejayaan Aira, Malaysia turut memenangi kategori lelaki dan perempuan bawah 13 tahun menerusi Sim Yeak Wei serta Harleein Tan, manakala untuk acara lelaki bawah 15 tahun menjadi milik M. Nickhileswar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.