SITAKUNDA: Sekurang-kurangnya 40 orang maut dan ratusan lagi cedera dalam kebakaran di depoh kontena perkapalan di Bangladesh, kata pegawai.
Kebakaran itu mencetuskan letupan kimia yang besar dan masih marak sehingga hari ini di depoh kontena berkenaan.
Angka kematian dijangka meningkat dengan lebih 300 orang cedera termasuk beberapa mangsa parah.
Sekumpulan penduduk tampil membantu dengan membawa keluar mayat dari kemudahan yang terbakar.
Mereka mendakwa terdapat banyak lagi mayat di dalam kemudahan, kira-kira 40 kilometer (km) dari pelabuhan utama selatan Chittagong.
Kebakaran berlaku pada lewat Sabtu di depoh besar di Sitakunda, yang menyimpan kira-kira 4,000 kontena yang kebanyakannya muatan pakaian untuk dihantar ke peruncit negara Barat.
Beberapa kontena yang mengandungi bahan kimia kemudian meletup sehingga mengakibatkan ramai maut dan cedera termasuk sekurang-kurangnya 40 anggota bomba dan 10 polis.
Menurut ketua polis wilayah Chittagong, Anwar Hossain, sekurang-kurangnya lima anggota bomba antara mangsa yang maut dalam insiden itu.
Pengarah Depoh Kontena B.M., Mujibur Rahman, berkata punca kebakaran masih belum diketahui.
Katanya, kemudahan itu mempunyai kira-kira 600 pekerja.
Ketua Jabatan Bomba, Brigedier Jeneral Main Uddin berkata, depoh kontena menyimpan hidrogen peroksida.
“Kami masih tidak dapat mengawal kebakaran ini disebabkan kewujudan bahan kimia ini,” katanya. – AFP










