Terus amalkan penjagaan kesihatan semasa menyambut Aidilfitri - Agong

Terus amalkan penjagaan kesihatan semasa menyambut Aidilfitri – Agong

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri. - ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat terus mengamalkan penjagaan kesihatan apabila umat Islam menyambut Aidilfitri esok.

Dalam perutusan khasnya malam ini, Seri Paduka bertitah, kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini adalah ketika negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik merupakan hasil usaha rakyat selama lebih dua tahun memerangi Covid-19.

Titahnya, ia juga hasil usaha padu kerajaan dan kesatuan rakyat dalam mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pemberian dos penggalak yang semakin meluas.

“Pelbagai onak dan ranjau yang telah kita tempuhi dalam perjuangan membebaskan negara daripada belenggu Covid-19. Melangkah ke hadapan, rakyat Beta hendaklah meneruskan momentum dengan berterusan mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang baik dan mematuhi semua saranan kerajaan.

“Jangan sekali-kali mengambil mudah dan bersikap sambil lewa akan nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah.

“Sesungguhnya nikmat kesihatan itu adalah asas bagi kehidupan yang sempurna dan kepada pembangunan negara tercinta,” titah Seri Paduka dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan di stesen-stesen televisyen dan radio, malam ini.

Baginda juga menyifatkan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu akan memberikan impak besar kepada pemulihan ekonomi negara selain membawa keceriaan kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ahli keluarga masing-masing.

“Kemeriahan menyambut Aidilfitri pada tahun ini sudah pasti akan lebih dinikmati bersama orang yang tersayang.

“Mereka yang memandu untuk pulang ke kampung halaman diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang pemanduan dan mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan negara meliputi Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan serta semua agensi kerajaan yang menggalas amanah memelihara keamanan dan kedaulatan negara.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar seluruh rakyat beta dan negara Malaysia yang di cintai ini akan kekal bersatu padu dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN