Sanusi tangkis tohmahan tidak ambil tindakan atasi masalah air - Utusan Malaysia

Sanusi tangkis tohmahan tidak ambil tindakan atasi masalah air

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menangkis tohmahan pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Kedah.

Kata beliau, masalah bekalan air di Kedah  juga boleh dimanipulasi bagi tujuan tertentu oleh pihak-pihak yang berkepentingan kerana ia mudah memancing emosi.

Beliau berkata, masalah gangguan bekalan air di negeri Kedah bukanlah isu baharu dan ia berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

“Dengan keadaan yang sedia wujud sejak sekian lama, sesiapa juga pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri akan berhadapan dengan masalah yang sama. Itu sehingga projek menaik taraf loji rawatan air (LRA) dan tindakan mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) yang diusahakan siap sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang, Insya-Allah.

“Saya memahami bahawa kenyataan meminta orang ramai bersabar mungkin dianggap retorik oleh sesetengah pihak, namun, itulah realiti bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah yang berlaku akan mengambil masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Muhammad Sanusi dikritik kerana terus meminta rakyat Kedah ‘bersabar’ dengan masalah ketiadaan bekalan air di negeri itu dan bukannya mencari penyelesaian bagi menyelesaikan kesusahan penduduk.

Ini kerana sikap sabar rakyat tidak dapat dibendung lagi kerana krisis air di negeri itu sudah berlarutan sejak dua dekad tetapi sehingga sekarang belum ada strategi penyelesaian.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran 

berkata, kerajaan negeri sepatutnya berterus-terang kepada rakyat tentang situasi bekalan air negeri dan tampil dengan pelan-pelan tersusun mengikut garis masa yang dirancang.

Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri merangka pelan menaik taraf sistem bekalan air terutama yang membabitkan lima LRA sejak penubuhan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) pada 2010 ketika negeri ini ditadbir oleh Pas.

“Usaha menaik taraf ini merangkumi pelan jangka pendek dan jangka panjang termasuk mengurangkan kadar air NRW bagi mengatasi masalah bekalan di seluruh negeri.

“Apa yang mendukacitakan apabila berlaku perubahan kerajaan, kerajaan negeri sebelum ini mengubah dasar yang  menyebabkan pelan menaik taraf lima LRA berkenaan tertangguh,” ujarnya.

Beliau memberitahu, usaha mengatasi masalah bekalan air di seluruh Kedah, Insya-Allah dapat dilaksanakan lebih awal dan berkemungkinan tidak berlarutan hingga ke hari ini jika pelan itu tidak diubah oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Hanya setelah berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada Mei 2020, barulah usaha untuk mengatasi masalah ini digerakkan semula.

“Sejak itu, pelbagai langkah penyelesaian yang lebih konkrit serta komprehensif dilaksanakan mengikut prosedur dan nasihat daripada Kementerian Alam Sekitar & Sumber Air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” ujar beliau.

Muhammad Sanusi memberitahu, setelah lama tertangguh, pada pertengahan 2021, projek menaik taraf lima LRA terbabit iaitu LRA Pelubang di (Kubang Pasu), LRA Lubuk Buntar Lama (Bandar Baharu), LRA Sungai Limau (Baling), LRA Jenun Baru (Pendang) dan LRA Bukit Selambau (Kuala Muda) dilaksanakan.

“Kesemua projek ini dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi. Kos bagi kesemua projek naik taraf ini mencecah RM931 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga  menyusun pelan pengurangan NRW termasuk pelan penggantian paip di seluruh Kedah yang keseluruhannya menelan kos hampir RM1 bilion. 

“Ini kerana LRA dan sistem saluran paip yang digunakan sudah terlalu lama, sesetengahnya dibina pada zaman penjajah lagi,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN