KEMAMAN: Taktik 12 nelayan Vietnam menceroboh perairan negara ketika Hari Raya Aidilfitri membawa padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, dalam rondaan bersepadu itu, dua bot ditahan di kedudukan 66 batu nautika dari Kuala Kemaman antara pukul 2.30 hingga 3 petang.
“Kesemua kru bot yang berusia antara 18 hingga 56 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada permit menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 200 kilogram hasil laut selain turut merampas 200 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
Katanya, kesemua kru dan bot itu dibawa ke Jeti Zon Kemaman untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, pemantauan dan rondaan berterusan dilakukan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing terutama pada sambutan Aidilfitri. – UTUSAN