VALENCIA: Kebangkitan hebat pada babak kedua membawa Liverpool ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh lima musim selepas menyingkirkan Villarreal secara agregat 5-2 di separuh akhir, sebentar tadi.
Reds yang menang 2-0 pada aksi pertama minggu lalu berdepan detik cemas apabila tuan rumah mengikat perlawanan secara agregat 2-2 dengan mendahului 2-0 di babak pertama.
Pada minit ketiga, Boulaye Dia meletakkan Villarreal di depan berpunca daripada hantaran silang Pervis Estupinan.

Liverpool bergelut untuk bertindak balas dengan semua tekanan yang diberikan oleh tuan rumah, malah Giovanni Lo Celso terjatuh dalam kawasan penalti mereka selepas dicabar penjaga gol Reds, Alisson Becker tetapi permainan diteruskan.

Pada minit ke-41, Villarreal menyamakan kedudukan secara agregat apabila bekas pemain tengah Arsenal, Francis Coquelin menanduk hantaran lintang Capoue.
Bagaimanapun, tenaga tuan rumah kelihatan menurun dengan ketara selepas rehat dengan Liverpool menikmati lebih banyak penguasaan dan mencipta peluang.

Selepas sejam permainan, Fabinho menemui ruang di dalam kawasan dan rembatan rendahnya melepasi kaki penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli.
Luis Diaz yang dibawa masuk pada babak kedua menanduk gol penyamaan lima minit berselang sebelum Sadio Mane melengkapkan mebangkitan Liverpool pada minit ke-74.
Liverpool, juara Eropah enam kali kini akan menentan Real Madrid atau Manchester City dalan final di Paris pada 29 Mei. – AGENSI