PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas pemergian isterinya, Datin Seri Feona Sim@Norjanah semalam.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka mendoakan kepada Allah agar mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.
Feona berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di Borneo Medical Centre, Kuching, Sarawak.
Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), pada 9 September 1972 dan dikurniakan tiga anak perempuan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang pada pukul 10 pagi ini. – UTUSAN