PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkesan akibat insiden letupan besar saluran paip gas di Nasr City, Mesir awal pagi Khamis.
Malah, Wisma Putra menerusi kenyataan di sini berkata, warga Malaysia juga tidak terlibat dalam kemalangan ngeri yang membabitkan sebuah bas pelancong dekat Sungai Nil kelmarin.
“Pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga telah berhubung rapat dengan rakyat negara ini terutama para pelajar yang menginap di sekitar Nasr City,” jelasnya.
Media Mesir melaporkan bencana letupan dahsyat itu berlaku berhampiran sebuah kelab bola sepak terkenal domestik, Al-Ahly pukul 11 malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).
Setakat ini, tiada angka kematian atau kecederaan direkodkan pihak berkuasa negara tersebut ekoran kejadian itu yang mengakibatkan kebakaran besar di kawasan insiden berkenaan.
Sementara itu, kes nahas bas yang dilanggar oleh sebuah trak dilaporkan terjadi berdekatan Aswan ketika ia dalam perjalanan ke kuil popular Abu Simbel yang mengorbankan 10 mangsa.
Ini termasuk empat pelancong Perancis dan seorang warga Belgium manakala 14 lagi mangsa mengalami kecederaan teruk akibat melecur selepas bas tersebut langsung hangus terbakar.
“Rakyat Malaysia di Mesir bagaimanapun dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri masing-masing terutama di kawasan berisiko tinggi,” jelas Wisma Putra.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular di Mesir diminta agar segera menghubungi Kedutaan Besar Malaysia yang beralamat di No.21, Al Aanab Street, Mohandessine, Giza, Kaherah.
Canseri diplomatik berkenaan turut boleh dihubungi untuk pertolongan kecemasan menerusi talian terus +201200276388 atau pun e-mel rasmi kedutaan iaitu [email protected]. – UTUSAN










